Selasa, 1 November 2016

Tugasan : Topik 4

1) Dengan  mengambil pembangunan yang dilakukan Rasulullah, bincangkan usaha pembaikan ekonomi yang boleh dijalankan sekarang?


Langkah langkah yang boleh diambil oleh Malaysia dalam penambahbaikan ekonomi Negara ialah dengan meguasai pelbagai kemahiran. Masyarakat juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya lebih mahir dalam melakukan sesuatu perkara. Seterusnya, pihak berkuasa bertanggungjawab menjaga keamanan Negara dan mengekalkan kedaulatan Negara.

Rakyat juga memainkan peranan penting dalam usaha pembaikan ekonomi. Rakyat mestilah bersatu padu untuk mengukuhkan perpaduan kaum. Inilah yang diamalkan oleh Rasulullah pada zaman baginda kerana pada zaman itu mempunyai pelbagai bangsa  dan agama. Rasulullah telah Berjaya menyatupadukan mereka.

Kerajaan juga perlu menggalakkan pelaburan asing  di Negara kita untuk menambah bilangan tenaga mahir yang terdiri daripada rakyat Malaysia. Dengan ini kerajaan dapat meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa dari segi import dan eksport. Kerajaan juga boleh melakukan penyelidikan dan pembangunan untuk menjadikan Negara hub halal. Justeru, kerajaan dapat merapatkan hubungan diplomatik antara Negara- Negara yang maju seperti korea, jepun dan Britain. Kerajaan juga perlu menambahkan institusi pengajian tinggi untuk melahirkan generasi cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan adanya generasi seperti ini dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan Malaysia.


2) Nilaikan tahap ekonomi Malaysia dari tahun 2014-2016 berdasarkan ukuran kuantiti dan kualiti


PENILAIAN TAHAP EKONOMI
Tahun 2014
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 6.0% pada tahun 2014 (2013: 4.7%). Pertumbuhan didorong oleh permintaan swasta dalam negeri yang terus mantap, dan diperkukuh oleh prestasi perdagangan luar negeri yang bertambah baik. Secara khusus, eksport bersih kembali pulih pada tahun 2014 untuk menyumbang secara positif kepada pertumbuhan setelah tujuh tahun berturut-turut mencatat sumbangan yang negatif, apabila eksport Malaysia menerima manfaat daripada pemulihan dalam ekonomi maju dan permintaan yang berterusan daripada rantau ini. Ini ditunjukkan oleh peningkatan permintaan yang menyeluruh merentas pasaran dan keluaran, termasuk produk elektronik dan elektrik (E&E). Dengan pertumbuhan eksport barangan dan perkhidmatan benar mengatasi pertumbuhan import, eksport bersih mencatat pertumbuhan yang kukuh sebanyak 19.7% pada tahun 2014 (2013: -12.6%) dan menyumbang 1.4 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK keseluruhan.
Permintaan dalam negeri terus menjadi peneraju utama pertumbuhan, walaupun pada kadar pertumbuhan lebih sederhana, yang didorong oleh aktiviti sektor swasta. Penggunaan swasta disokong oleh peningkatan pendapatan yang menggalakkan dan keadaan pasaran pekerja yang stabil. Bantuan Kerajaan yang disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memberikan sokongan tambahan kepada penggunaan swasta meskipun inflasi lebih tinggi pada tahun itu. Pelaburan swasta terus meningkat pada kadar dua angka, didorong oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan. Sektor-sektor ini mendapat manfaat daripada persekitaran luaran yang bertambah baik serta penggunaan dalam negeri yang mampan. Sejajar dengan komitmen Kerajaan terhadap konsolidasi fiskal, jumlah perbelanjaan sektor awam hanya menyumbang sedikit kepada pertumbuhan pada tahun 2014. Inisiatif pengurangan kos oleh Kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan budi bicara yang diumumkan pada akhir tahun 2013, khususnya bagi perjalanan, makanan dan minuman serta sewa, sebahagiannya telah mengakibatkan pertumbuhan penggunaan awam menjadi sederhana pada tahun 2014. Sementara itu, pelaburan awam menguncup berikutan perbelanjaan modal yang lebih rendah oleh Kerajaan Persekutuan dan juga perusahaan awam. Perbelanjaan modal yang rendah oleh perusahaan awam disebabkan oleh beberapa projek utama yang telah disiapkan atau hampir siap pada tahun itu.
Kesimpulan
Sebagai rumusan, KDNK mengikut pendekatan pendapatan menunjukkan jumlah pendapatan yang terakru kepada isi rumah dan fi rma yang terlibat dalam aktiviti yang produktif dalam sesebuah ekonomi. Di Malaysia, secara purata, pendapatan modal merupakan komponen terbesar KDNKP. Walau bagaimanapun, bahagian pendapatan pekerja telah meningkat secara beransur-ansur antara tahun 2005 hingga 2013. Analisis yang dipaparkan dalam rencana ini menyokong lagi keperluan Malaysia untuk terus memberi tumpuan pada strategi untuk meningkatkan paras gaji purata, yang hasilnya akan menaikkan bahagian pendapatan pekerja. Ini boleh dicapai dengan menggalakkan aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang tinggi dan dengan menarik pelaburan yang berkualiti, terutamanya dalam industri yang intensif pengetahuan, yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi. Sama pentingnya ialah strategi untuk meningkat produktiviti dalam kesemua aktiviti ekonomi melalui penggunaan teknologi yang lebih canggih dan meningkatkan tahap kemahiran tenaga kerja secara keseluruhan. Akhir sekali, pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi secara menyeluruh kekal penting untuk negara terus mara bagi mencapai kemajuan ke arah menjadi ekonomi yang berproduktiviti tinggi dan berpendapatan tinggi.

Tahun 2015
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 5.0% pada tahun 2015 (2014: 6.0%). Pertumbuhan telah disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, dipacu oleh sektor swasta. Penggunaan swasta, terus mencatatkan pertumbuhan sederhana setelah isi rumah menyelaraskan perbelanjaan mereka dengan kos sara hidup yang lebih tinggi berikutan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan, GST), pelarasan harga ditadbir, rasionalisasi subsidi dan penyusutan nilai ringgit. Walau bagaimanapun, pendapatan boleh guna yang lebih tinggi melalui langkah Kerajaan yang disasarkan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana dan keadaan pasaran pekerja yang stabil menyokong perbelanjaan yang lebih tinggi. Di samping itu, terdapat banyak aktiviti penggunaan dipercepat pada awal tahun sebelum GST dilaksanakan pada April 2015.
Kesimpulan
Ekonomi Malaysia melangkah masuk ke tahun 2016 dengan mempunyai kedudukan yang teguh disokong oleh sistem kewangan yang kukuh. Aspek penting yang menyumbang kepada senario ini adalah kepelbagaian aktiviti ekonomi. Justeru, dasar monetari pada tahun 2016 memberi tumpuan dalam memastikan keadaan monetari kekal menyokong pertumbuhan dalam negeri yang mampan, mengambil kira risiko pertumbuhan yang lebih rendah daripada persekitaran dalam dan luar negeri. Berikutan prospek ekonomi global dan pembangunan kewangan yang tidak menentu, Kerajaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan memantau dan menilai implikasinya terhadap prospek  pertumbuhan dalam negeri dan inflasi. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) baru-baru ini pada 13 Julai 2016, Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) telah dikurangkan kepada 3.00% daripada 3.25%, berikutan ketidaktentuan dalam persekitaran global yang berpotensi memberi impak kepada prospek pertumbuhan Malaysia. Bagi memastikan ekonomi dalam negeri terus mengalami pertumbuhan yang kukuh dalam inflasi yang stabil, pelarasan OPR yang baharu tersebut adalah supaya dasar monetari terus kekal akomodatif dan konsisten dengan pendirian dasar, berlatarkan peningkatan risiko pertumbuhan global yang lebih rendah.

Tahun 2016

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.0% pada suku kedua 2016 (S1 2016: 4.2%). Meskipun permintaan dalam negeri meningkat dengan lebih kukuh, pertumbuhan telah menerima kesan daripada eksport bersih yang terus merosot dan pengeluaran stok yang tinggi. Dari segi penawaran, pertumbuhan terus dipacu oleh sektor ekonomi utama. Berdasarkan asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara mencatat pertumbuhan 0.7% (S1 2016: 1.0%).
Aktiviti sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan kadar pengembangan lebih cepat sebanyak 6.1% pada suku kedua (S1 2016: 4.5%). Penggunaan swasta meningkat 6.3% (S1 2016: 5.3%), disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan serta pendapatan boleh guna tambahan hasil daripada pelaksanaan langkah-langkah Kerajaan. Pelaburan swasta berkembang dengan lebih pantas pada kadar 5.6% (S1 2016: 2.2%), didorong terutamanya oleh perbelanjaan modal yang berterusan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan. Pertumbuhan pelaburan awam kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan positif 7.5% (S1 2016: -4.5%), disebabkan terutamanya oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk harta tetap oleh Kerajaan Persekutuan dan perbadanan awam. Pertumbuhan penggunaan awam juga bertambah baik pada suku kedua kepada 6.5% (S1 2016: 3.8%) disebabkan terutamanya oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan.
Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi terus berkembang, kecuali sektor pertanian. Pertumbuhan sektor perkhidmatan yang lebih tinggi disokong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh, manakala bagi sektor perkilangan, disumbangkan oleh kelompok elektronik dan elektrik. Pertumbuhan sektor pembinaan yang lebih kukuh didorong terutamanya oleh subsektor kejuruteraan awam. Prestasi sektor perlombongan bertambah baik disebabkan terutamanya oleh pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih tinggi pada suku tersebut. Pertumbuhan sektor pertanian merosot akibat kesan tertangguh El Niño ke atas pengeluaran minyak sawit mentah.
Kesimpulan
Pada suku kedua 2016, ekonomi global berkembang pada kadar yang lebih sederhana, dengan momentum pertumbuhan yang tidak sekata di seluruh ekonomi dunia. Pertumbuhan ekonomi maju kekal sederhana dalam keadaan kitaran dan struktur ekonomi yang terus lemah. Di Asia, permintaan dalam negeri terus menyokong pengembangan ekonomi, namun prestasi eksport yang berterusan lemah telah memberikan kesan terhadap pertumbuhan. Walaupun impak awal daripada keputusan pungutan suara (referendum) di United Kingdom berkaitan dengan Kesatuan Eropah (EU) mewujudkan ketidakpastian dan penghindaran risiko yang tinggi, turun naik pasaran kewangan sejak itu telah berkurang. Di tengah-tengah kebimbangan yang berterusan terhadap pertumbuhan dan inflasi yang rendah, beberapa bank pusat utama dan serantau meneruskan pelonggaran dasar monetari untuk menyokong aktiviti ekonomi.

3) Adakah tujuan zakat untuk membasmi kemiskinan?

Jawapan : Kewajipan zakat merupakan suatu tanggungjawab yang membawa berkat dan memberi kesan yang berterusan bukan sahaja kepada mereka yang mengeluarkannya, tetapi juga mereka yang menerimanya. Pelaksanaan zakat memberi kesan bukan sahaja kepada individu, juga memberi kesan kepada seluruh lapisan masyarakat. Zakat turut berperanan dalam mempertingkatkan kebajikan masyarkat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi. Zakat dilihat mampu mengikis rasa sombong golongan kaya dan mengelak golongan fakir iskin dari meminta-minta. Harta yang diperoleh golongan kaya sebenarnya terdapat sebahagian hak golongan fakir dan menjadi kewajipan golongan kaya menunaikan hak tersebut.

Allah S.W.T telah mewajibkan zakat sebagai salah satu jaminan sosial kepada masyarakat terutama kepada golongan yang amat memerlukan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat dan sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan rohani setiap Muslim. Zakat juga bertindak sebagai satu mekanisma yang penting kepada sesebuah negara Islam bagi menjamin kemaslahatan rakyat seluruhnya. Zakat juga mempunyai keupayaan dan kekuatan bagi membasmi kemiskinan dan menjamin keseimbangan jurang antara golongan kaya dan miskin melalui mekanisma agihan semula kekayaan dalam masyarakat.

Zakat merupakan suatu pendapatan yang tetap dan menjadi kewajipan untuk sentiasa dilaksanakan oleh sesebuah negara Islam dan ianya tidak akan terhenti. Oleh itu, negara Islam dapat menggunakan sumber zakat bagi membina kekuatan ekonomi, sosial, pendidikan dan akhirnya dapat membina kekuatan Umat Islam secara tidak langsung membina kesatuan Ummah yang jitu. Masalah membasmi kemiskinan merupakan tujuan utama sistem zakat dalam Islam melalui penyediaan saraan hidup dan modal yang mencukupi bagi golongan yang berhajat. Saraan hidup daripada zakat ini diperuntukkan kepada golongan yang tidak mampu bekerja dengan sebab-sebab cacat anggota atau sebagainya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan